Wednesday, 29 August 2012
Tuesday, 28 August 2012
1,378 Flat, Pangsapuri dan Kondominium Tidak Nikmati Air Percuma
Shah Alam, 28 Ogos– Sebanyak
1,378 kawasan rumah pangsapuri dan kondominium tidak pernah
menikmati 20 meter padu air percuma seperti dijanjikan oleh Kerajaan Negeri
dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 lalu.
Jesteru, Gerakan Prihatin Rakyat
Selangor (GPRS) menuntut kerajaan negeri Selangor untuk menunaikan janji
pilihan raya dengan memberi pampasan kepada isi rumah yang tidak terima air
percuma seperti yang dijanjikan ini.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan
berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil daripada aduan dikemukakan oleh rakyat
dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) setakat ini.
“Jumlah tersebut melibatkan kira-kira
sebanyak lebih RM300juta kerana Kerajaan Negeri berhutang tunggakan selama 50
bulan sejak PRU12.
“Petaling Jaya merupakan kawasan
paling banyak iaitu sebanyak 479 kawasan tidak dapat menikmati subsidi air
percuma dijanjikan Kerajaan Negeri diikuti dengan Gombak (462) dan Klang (273).
“Sepatutnya setiap rakyat menerima 20
meter padu setiap bulan seperti dijanjikan atau bersamaan dengan RM11.40,”
katanya pada sidang media di pejabat GPRS di Seksyen 19 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika
mengulas kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar
Abdul Samad yang menyatakan buat masa ini Kerajaan Negeri tidak akan membayar
tunggakan kepada mereka yang tidak menikmati air percuma itu. selain menyalahkan
pengguna kerana tidak menukar meter pukal.
“Ini adalah kenyataan dangkal
pemimpin pakatan pembangkang yang tidak memikirkan masalah pengguna di flat kos
rendah dan apartment yang kebanyakannya berpendapatan kecil. Kegagalan
memberikan air percuma secara adil kepada rakyat menunjukkan pakatan
pembangkang ketika berjanji pada pilihan raya umum yang lalu, tidak membuat
kajian secara menyeluruh,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian
Selayang.
Tambahnya, sebagai rakyat wajar
mereka menikmati dasar air percuma dijanjikan oleh Kerajaan Negeri. Malah
berdasarkan manifesto tersebut juga jelas menyatakan bahawa semua penduduk di
negeri ini layak menerima air percuma dan tidak dinyatakan meter pukal atau
sebaliknya tidak layak menerima.
Beliau turut membidas Kerajaan Negeri
yang didakwa menjadikan masalah meter pukal sebagai alasan mengapa rakyat tidak
dapat menikmati dasar air percuma tersebut.
“Semua rakyat yang memegang akaun
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sepatutnya menikmati janji tersebut
kerana tidak dinyatakan meter pukal tidak layak atau sebagainya.
“Memandangkan mereka yang menggunakan
meter pukal tidak dapat menikmati air percuma itu maka wajarlah Kerajaan Negeri
membayar tunggakan kepada rakyat. Mana perginya wang lebih RM300juta itu?,”
katanya.
Sohaimi berkata, beliau telah
mendapat nasihat peguam berhubung perkara tersebut dan difahamkan terdapat
klausa tertentu yang membolehkan rakyat untuk menuntut hak mereka.
Katanya, beliau turut melancarkan
laman blog www.hasrat-selangor.blogspot.com untuk
dilayari rakyat yang mempunyai sebarang masalah berhubung air.
“Kita akan menyediakan khidmat guaman
percuma untuk membantu rakyat berhubung perkara ini demi mendapatkan kembali
hak mereka. Malah mereka boleh buat sebarang aduan atau maklumat di laman tersebut
di mana kita akan kemaskinikan semua perkara menerusi blog tersebut,” katanya.
Sohaimi berkata, beliau mendesak
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberi respon dalam masa
terdekat berhubung isu ini.
Katanya, beliau menyeru rakyat negeri
ini untuk sama-sama bangkit kerana banyak janji yang dibuat didakwa tidak
ditunaikan oleh Kerajaan Negeri
“Kita mahu Kerajaan Negeri bertindak
dalam masa terdekat ini bagi menangani masalah ini. Rakyat juga perlu sedar ini
janji bertulis yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pada semua rakyat tapi tak
dapat dilaksanakan,” katanya.
Penghuni pangsapuri tuntut janji air percuma Selangor
PETALING JAYA, 26 Ogos – Selepas empat tahun mentadbir Selangor,
Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) didakwa gagal menepati janji untuk memberikan air
percuma kepada penduduk yang menggunakan meter pukal seperti flat kos rendah
dan pangsapuri.
Semalam, satu demonstrasi secara aman yang dilakukan oleh penduduk
di Pangsapuri Mentari Court sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap
sikap tidak prihatin Kerajaan Selangor dalam pelaksanaan pemberian air percuma.
Selain itu, mereka turut mendesak Kerajaan Negeri membayar
tunggakan untuk tempoh 50 bulan sejak Ogos 2008 sehingga September 2012
sebanyak RM570 dalam tempoh seminggu.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama (JMB), Kamarul Azman Kamarudin
berkata, pada pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang yang diwakili
PKR, Pas dan DAP melalui slogan Negeri Berkebajikan’ telah berjanji memberi air
percuma kepada rakyat sekiranya berjaya memegang tampuk pemerintahan negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri
sepatutnya membayar hutang bagi tempoh kira-kira 50 bulan sejak skim itu
dilaksanakan, dianggarkan berjumlah RM570 kepada setiap isi rumah yang
menggunakan meter pukal.
"Malangnya selepas
diberi mandat, mereka lupa janji. Pelaksanaan pemberian air percuma sebanyak 20
meter padu atau subsidi RM11.40 hanya sekadar melepaskan ‘batuk di
tangga’," katanya pada sidang media.
Beliau berkata, air percuma hanya dinikmati pengguna yang
menggunakan meter individu.
Katanya, penduduk juga telah beberapa kali menuntut Kerajaan
Negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menukar meter pukal
kepada meter individu namun pelbagai ‘alasan’ telah diterima.
"Sebagai rakyat atau pengguna, kami berasa amat dukacita atas
sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mempedulikan kepentingan dan nasib
penghuni pangsapuri yang kebanyakannya
kurang berkemampuan," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili mereka, Hasnal Rezua Merican
berkata, berdasarkan janji yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan representasi
berulang kali, terdapat asas undang-undang untuk mencabar Kerajaan Negeri
kerana telah membuat pengharapan yang sah kepada rakyat Selangor bahawa mereka
berhak mendapat air percuma.
“Kita akan mulakan tindakan undang-undang untuk memaksa Kerajaan
Negeri sama ada memberikan air percuma atau pampasan kepada penduduk dalam satu
jumlah yang dirasakan munasabah bagi menggantikan air percuma yang tidak boleh
dilaksanakan," katanya.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal
Awam Syabas, Priscilla Alfred memaklumkan, pemberian air percuma hanya layak
diberikan kepada penghuni yang mendiami pangsapuri dikategorikan dalam kod 10.
"Penghuni pangsapuri hanya diberi air percuma selepas proses
migrasi ke meter individu iaitu ke kod 10," katanya kepada Sinar Harian.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat
Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan ketika dihubungi berkata, seluruh rakyat Selangor berhak merasai
segala nikmat daripada janji-janji yang ditabur oleh pakatan pembangkang semasa
pilihan raya umum yang lalu.
"Tiada istilah pilih bulu atau pilih kasih dalam pemberian
air percuma. Kalau cuma tahu berjanji tetapi tidak tahu untuk menepatinya,
lebih baik jangan cuba untuk berjanji," katanya.
Sumber: Sinar Harian Online
Subscribe to:
Posts (Atom)