Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) berkata, demonstrasi
yang dilakukan oleh penduduk Pangsapuri
Angsana, Bandar Mahkota Cheras hari ini adalah luahan rasa kecewa dengan sikap
lidah bercabang kerajaan negeri yang berdolak-dalik dan enggan menunaikan janji
mereka.
“Demontrasi ini juga adalah rentetan desakan dilakukan penduduk di
Pangsapuri Menteri Court di Petaling Jaya dan Pangsapuri Lavender Vista di
Puchong yang sehingga kini masih dinafikan hak menerima air percuma dengan
alasan menggunakan meter pukal.
Malah, rakyat yang berasa tertipu dengan janji manifesto kerajaan
negeri turut memfailkan saman di mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut ganti
rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Tuntutan oleh 683 pengguna air itu merupakan kumpulan pertama dari
kawasan Shah Alam dan akan diikuti oleh pengguna air dari kawasan lain di
negeri ini,” ujarnya kepada pemberita selepas bersama-sama dalam demostrasi
aman bersama penduduk Pangsapuri Angsana, Bandar Mahkota Cheras.
Penggunaan meter pukal tidak sepatutnya dijadikan alasan
memandangkan perkara itu telah dijanjikan kepada semua pemilik kediaman di
seluruh Selangor sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negeri ini.
Lebih mengecewakan kerajaan negeri lebih mengutamakan penduduk
rumah teres dan rumah banglo daripada golongan kelas menengah dan atasan dalam
skim air percuma tersebut, manakala golongan yang lebih memerlukan telah
dinafikan hak.
“Laporan akhbar baru-baru ini menyebut para penghuni membabitkan
1,378 buah pangsapuri dan kondominium di beberapa daerah di negeri ini dikesan
belum menerima kemudahan air percuma seperti yang dijanjikan oleh kerajaan
negeri sejak Ogos 2008.
Perangkaan tersebut melibatkan sebanyak 479 buah pangsapuri di
Petaling Jaya, Gombak (462) dan Klang (273) yang jika puratanya melibatkan 500
pemegang akaun perkhidmatan bekalan bagi setiap premis kediaman itu. Jumlah
keseluruhan penghuni boleh mencecah sehingga 689,000 orang manakala jumlah
tunggakan subsidi air percuma hampir RM300 juta.
Mengikut definisi melalui manifesto parti pembangkang, setiap
rakyat negeri ini yang mempunyai akaun bekalan air adalah layak menerima
subsidi sebanyak RM11.40 setiap bulan dan kalau dihitung sejak 2008, mereka
mempunyai tunggakan sebanyak RM570 setiap seorang,” tambahnya.
Kerajaan negeri sebelum ini menolak tuntutan tunggakan air percuma
tersebut sebaliknya mahu penduduk menukar meter air pukal kepada meter air
individu bagi membolehkan penghuni pangsapuri dan kondominium di negeri ini
menikmati skim air percuma tersebut.
Jika tidak mampu melaksanakan, lebih baik tidak perlu berjanji.
Rakyat di negeri Selangor semakin sedar pembohongan yang dilakukan kerajaan
negeri termasuk mengatakan ‘manifesto bukan janji’ sebagai alasan untuk
melarikan diri daripada tanggungjawab.
“Justeru terserah kepada rakyat Selangor untuk membuat penilaian sama ada mahu
mengekalkan kerajaan negeri yang kuat temberang atau kerajaan yang lebih
berkredibiliti yang mengutamakan rakyat dalam setiap pelaksanaan.
Malah timbulnya pelbagai isu sepanjang kerajaan PKR memerintah
negeri Selangor, membolehkan rakyat membuat pertimbangan tepat terhadap
keupayaan kepimpinannya. Ini cukup penting bagi rakyat membuat keputusan pada
pilihan raya umum tidak lama lagi,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Selayang.
No comments:
Post a Comment